KEDAH menutup tirai saingan Liga Super musim ini dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas naib juara liga Felda United di Stadium Darul Aman. Pada perlawanan itu, pemain Kedah turun tanpa Ketua Jurulatihnya, Tan Cheng Hoe yang berada di Kosovo atas urusan tertentu. Bagaimanapun, ketiadaan Cheng Hoe tidak merencatkan aksi pemain Kedah yang dibimbing oleh Nizam Adha Yusof sebagai penolong jurulatih. Pada minit ke-17 pelawat hampir menjaringkan gol namun tendangan kencang pemain pertahanan kirinya, Mohd Aizul Ridzwan terkena palang gawang tuan rumah. Tersentak dengan aksi pemain Felda, Kedah bangkit mengatur serangan dengan Thiago Augusto yang merupakan bekas pemain Felda menjadi sebagai penyerang utama. Hasilnya, Augusto hampir mendapatkan gol pada minit ke-20, namun bola tandukannya berjaya ditangkap kemas oleh Mohd Farizal Harun. Bersambung babak kedua, Kedah yang bakal beraksi di pentas final Piala Malaysia pada minggu depan kembali mengatur serangan bagi memastikan kemenangan menjadi miliknya. Namun, ia tidak mudah untuk dilaksanakan apbila Felda juga mempunyai barisan pertahanan ampuh. Ketika perlawanan semakin menuju penghujungnya, Kedah membuat pertukaran dengan memasukan Shane Smeltz dan mengeluarkan Hanif Md Dzahir. Hasilnya ternyata berbaloi apabila, Smeltz berjaya memecah kebuntuan jaringan selepas mendapat lorongan daripada Liridon Krasniq. Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga akhir perlawanan walaupun Felda cuba menyamakan kedudukan menerusi serangan balas.