KUALA LUMPUR: Anirban Lahiri menampilkan pukulan cemerlang tujuh bawah par 65 pada pusingan ketiga Kejohanan Golf CIMB Classic2016 untuk meletakkannya di kedudukan terbaik bagi merangkul kejuaraan sulungJelajah PGA. Pemain berusia 29 tahun dari Pune, India, itu mencatat keseluruhan 19 bawah par 197 untuk mendahului dengan empat pukulan pada kejohanan menawarkan hadiah US$7 juta (kira-kira RM29.33 juta) itu di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara di sini pada Sabtu. "Ia amat memuaskan dapat menamatkan saingan dengan cara yang sayalakukan...sangat positif. Saya tekad untuk kekal fokus sehingga lubang ke-18 dan saya gembira berjaya melakukannya," kata Anirban pada sidang media kemudian. Memasuki pusingan akhir pada Ahad dengan kelebihan empat pukulan, Anirban optimisdia mampu meneruskan rentak cemerlangnya itu. "Saya tidak menganggap kedudukan itu masih selamat. Lapangan golf itu adalah sedemikian, anda pernah melihat pemain membuat pukulan 63, 61. Saya pernah membuat pukulan 61 dan Justin (Thomas) melakukan 60 pada tahun lepas," kata Anirban. Sementara itu, pendahulu pada Jumaat dan penyandang juara dari Amerika Syarikat Justin Thomas berkongsi di tempat kedua bersama Russell Knox dari Scotland setelah masing-masing mencatat 15 bawah par 201. "Saya perlu melakukan perkara yang sama. Saya perlu terus membuat birdie kerana kita tidak boleh bermain secara defensif. Kita perlu kekalkan fokus," jelas Anirban, yang membuat penampilan pertama Jelajah PGA bagi musim 2016-17. Juara bertahan Order of Merit Jelajah Asia itu kembali ke Kuala Lumpur dengan kenangan manis kerana pernah merasai kejayaan di venue yang sama apabila menjuarai Terbuka Malaysia Maybank 2015. Pada pusingan hari ini, Thomas melakukan birdie di lima lubang terakhir selepas melakukan empat atas par menerusi 12 lubang untuk memastikan dia dapat mempertahankan gelaran pada kejohanan itu. "Permainan saya tidak begitu baik pada 13 lubang pertama. Ia sesuatu yang menghairankan," kata pemain berusia 23 tahun itu yang kini berada di ranking ke-35 dunia. "Ia sesuatu yang baik dapat menamatkan saingan dengan keputusan itu. Saya harap dapat memperbaiki momentum untuk saingan esok (Ahad). Anirban menampilkan permainan yang bagus. Dia membuat ia kelihatan mudah. Saya tidak sedar diamembuat sembilan birdie sehinggalah tamat saingan," katanya. Thomas menjuarai CIMB Classic tahun lepas, dengan mencatat rekod kejohanan setelah melakukan 26 bawah par 262. Pemain ranking ke-20 dunia, Knox, yang memburu kejuaraan ketiga Jelajah PGA, sudah bersedia memberi cabaran dalam saingan akhir, selepas gagal mempamerkanaksi terbaik pada hari ketiga kejohanan berkenaan. "Saya tidak bermain dengan begitu baik dan sedikit bergelut untuk mendapatkan rentak...tidak seperti semalam," kata pemain dari Scotland itu. -Bernama