KUALA LUMPUR: Justin Thomas dari Amerika Syarikat berjaya mempertahankan Kejohanan Golf CIMB Classic bernilai US$7 juta (RM29.33 juta) dengan kelebihan tiga pukulan di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara, di sini, Ahad. Pemain berusia 23 tahun itu melakarkan lapan bawah par 64 pada pusingan akhir, sekali gus menjuarai kejohanan untuk kali kedua-dua berturut-turut selepas mencatatkan jumlah keseluruhan 23 bawah par 265. Thomas mengatasi pencabar terdekat, Hideki Matsuyama dengan kelebihan tiga pukulan selepas pemain Jepun itu turut melakukan catatan terendah lapan bawah par 64. Atas pencapaian itu, Thomas membawa pulang hadiah wang tunai US$1.26 juta (RM5.27 juta) dan trofi kejohanan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Matsuyama, selaku naib juara, menerima hadiah wang tunai US$756,000 (RM3.16 juta) manakala pendahulu semalaman, Anirban Lahiri gagal menggunakan kelebihan empat pukulan dengan melakukan pukulan par 72 pusingan akhir. Pemain India itu ketinggalan empat pukulan daripada juara dengan berkongsi tempat ketiga bersama pemain Amerika Syarikat, Derek Fathauer, dengan 269 pukulan. "Saya begitu teruja...bahagian paling sukar adalah untuk tidak memikirkan beberapa lubang terakhir. Ia tidak banyak berubah sebab saya berjaya dapat mengendalikan situasi seperti ini. "Ini adalah permulaan hebat tahun ini," kata Thomas. Dalam pada itu, Matsuyama kecewa kerana tidak dapat merangkul kejuaraan selepas beraksi dengan baik sepanjang kejohanan tersebut. "Sedikit kecewa tetapi Justin (Thomas) beraksi dengan hebat dan beliau berhak untuk menang," katanya yang memburu kejuaraan ketiga dalam Jelajah PGA selepas Kejohanan Memorial pada 2014 dan Kejohanan Terbuka Waste Management Phoenix, Februari lepas. Sementara itu, wakil negara, Gavin Kyle Green menamatkan saingan di tempat ke-69, berkongsi kedudukan dengan pemain Taiwan, Chan Shih-Chang dengan mengumpul 289 pukulan. Pemain profesional terbaik negara, Danny Chia, menghuni tangga tercorot iaitu tempat ke-78 dengan catatan 305 pukulan. Gavin membawa pulang hadiah wang tunai US$14,070 (RM58,866) manakala Danny menerima US$12,880 (RM53,887). "Saya perlu memperbaiki semua aspek...perlu lebih sabar dan lebih bijak. Kejohanan ini sedikit sebanyak membuka minda saya dan ada perkara yang saya perlu lakukan," kata Gavin. - BERNAMA