suria

"Selamat Maju Jaya Buat Melaka United" - Mat Zan

KETUA Jurulatih Pasukan Melaka United Mat Zan Mat Aris (kiri) dan penyerang import Illia Spasojevic bersama Piala Liga Perdana 2016 selepas muncul juara Liga Perdana di Stadium Hang Jebat pada 22 Oktober 2016. - BERNAMA

MELAKA: Masa depan jurulatih Melaka United, Mat Zan Mat Aris terus menjadi tanda tanya sama ada kekal mengendalikan skuad itu mengharungi Liga Super musim depan.

Selepas berjaya membawa Melaka United menjuarai Liga Perdana musim ini, sekali gus layak ke Liga Super musim ini, kedudukan Mat Zan yang turut membantu skuad Sang Kancil menjuarai Liga FAM sebelum ini, masih mencetuskan spekulasi.

Malah, Mat Zan ketika ditanya sama ada akan terus mengendalikan skuad itu musim depan sekadar menjawab: "Selamat Maju Jaya buat musim depan Melaka United."

Mat Zan mengakui belum ada tawaran untuknya melanjutkan kontrak dan menyerahkannya kepada pengurusan pasukan bagi menentukan kedudukannya.

"Terpulanglah kepada pengurusan. Mungkin satu dua hari ini mereka akan buat keputusan sama ada mengekalkan jurulatih atau pemain.

"Pada masa sama, saya sentiasa terbuka dan akan memikirkan tawaran pasukan lain yang boleh memberikan suatu cabaran baharu dalam diri saya sebagai seorang jurulatih.

"Kontrak saya bulan lapan (Ogos lepas) dah habis, kalau Melaka hendak saya awal-awal lagi sudah ditawarkan (kontrak) ... mungkin juga mereka ada perancangan membentuk pasukan lebih kuat lagi, kita serah pada pengurusan," katanya kepada pemberita di sini malam Sabtu.

Beliau ditemui selepas perlawanan terakhir Liga Perdana musim ini yang  menyaksikan Melaka United seri 1-1 dengan Sime Darby FC di hadapan kira-kira 35,000 penonton di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini.

Pasukan itu turut menerima Piala Liga Perdana selepas tamat perlawanan tersebut.

Mat Zan, yang melatih Melaka United dalam saingan Liga FAM musim 2015, berkata menjuarai Liga FAM tahun lepas dan Liga Perdana tahun ini merupakan suatu pencapaian yang membanggakan buat dirinya dalam karier sebagai jurulatih.

Mengulas perlawanan malam tadi, beliau berkata kemungkinan pemainnya agak tertekan beraksi di hadapan penonton sendiri paling ramai musim ini sehingga menyaksikan mereka menyamakan kedudukan pada minit terakhir menerusi Mohd Saiful Mustafa selepas pelawat mendahului hasil gol Drago Mamic pada minti ke-71.

"Separuh masa pertama kita kurang berfungsi namun pada separuh masa kedua banyak peluang kita peroleh...kita ketinggalan dan dapat menyamakan kedudukan.

Apapun malam ini kita raikannya dengan semua penyokong," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain