PEKAN: Tiada keistimewaan diberikan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang telah disenarai pendek dalam pemilihan untuk skuad polo kebangsaan bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pemilihan atlet adalah berdasarkan merit dan semua yang terlibat akan melalui proses saringan sebelum keputusan akhir dimuktamadkan. "Mereka perlu melalui saringan dan menjalani latihan mengikut fasa yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN). Tiada keistimewaan (kepada Khairy) kerana kita mahukan pasukan yang mantap," katanya kepada pemberita di sini, Isnin. Mohamad Norza ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Pahang sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini. Pada istiadat yang disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu, Mohamad Norza dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri. Mohamad Norza berkata, jika terpilih, beliau berharap Khairy bersama pemain lain akan berlatih bersungguh-sungguh bagi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada kali terakhir acara itu dipertandingkan di Sukan SEA Korat, Thailand pada 2007. "Kita menang emas pada Sukan SEA Korat dan sebagai tuan rumah 2017, kita mewujudkan semula acara polo. Saya percaya Malaysia sebagai antara pasukan polo terkuat di Asia Tenggara dapat mempertahankan kejuaraan itu. "Saya harap Khairy dan atlet lain yang terpilih akan berlatih bersungguh-sungguh dan lakukan yang terbaik untuk merealisasikan hasrat ini. Keputusan muktamad senarai atlet hanya akan diketahui tiga atau empat bulan sebelum temasya sukan itu bermula," katanya. Khairy merupakan antara 12 pemain yang disenarai pendek Persatuan Polo Diraja Malaysia untuk beraksi dalam Sukan SEA tahun hadapan, bersama sebahagian besar pemain profesional yang pernah beraksi di Sukan SEA Korat. Jika terpilih untuk ke Sukan SEA yang akan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos tahun depan, Khairy akan mencipta sejarah sebagai menteri pertama menyertai temasya itu.-- Bernama