ANDY Murray menang mudah dalam perlawanan pertamanya sebagai pemain nombor satu dunia bagi menamatkan kempen Jelajah Dunia ATP 2016 musim ini. Murray berdepan Marin Cilic di O2 Arena, London, dalam perlawanan awal pagi Selasa, dan pemain tuan rumah itu menang dua set 6-3, 6-2. Murray yang baharu sahaja menyingkirkan pemain Novak Djokovic dari ranking pertama dunia tampil tenang sejak awal permainan. Pada pertengahan set pertama, dia unggul dengan 3-1. Walaupun sempat dikejar lawan menjadikan kedudukan 5-3, Murray menutup set pertama dengan kemenangan 6-3. Pada set kedua, Cilic mengasak terlebih dahulu apabila lawan Murray dari Bosnia-Herzegovina itu sempat mendahului 1-0. Tetapi Murray berjaya menyamakan kedudukan sehingga Cilic kembali memimpin 2-1. Murray yang prestasinya sedang berada dalam keadaan terbaik, tidak gugup dengan cabaran yang ditunjukkan Cilic. Juara Wimbledon itu berjaya mengawal permainan sehingga akhirnya menutup pertandingan dengan kemenangan 6-2. Murray mengaku berasa lega dapat menewaskan Cilic. Menurutnya, berjaya menyelesaikan pertandingan pembukaan dengan meraih kemenangan menjadi perkara terpenting. "Apa yang saya mainkan adalah salah satu permainan terbaik saya. Saya bermain di sini sudah bertahun-tahun. Terima kasih kepada penyokong yang mencipta persekitaran luar biasa ini. Saya akan terus berusaha memberikan detik-detik seperti ini lagi," katanya memetik Telegraph. "Apabila anda dapat pertahankan kemenangan, keyakinan anda akan bertambah. Setelah waktu rehat, saya jadi lebih yakin. Bila ada peluang, saya mengambilnya dan itulah pertandingan kemenangan untuk anda," katanya. Murray seterusnya akan berdepan pemain dari Jepun, Nishikori yang mara selepas menewaskan Stan Wawrinka 6-2, 6-3. Keputusan Penuh: Andy Murray - Marin Cilic [6-3; 6-2] Stan Wawrinka v Kei Nishikori [2-6; 3-6] Novak Djokovic v Dominic Thiem [6-7; 6-0; 6-2] Gael Monfils v Milos Raonic [3-6; 4-6]