suria

Rooney Kembali Ke Kelab, Tidak Turun Menentang Sepanyol

Wayne Rooney. -fotoAP
WAYNE Rooney sah tidak akan tampil dalam perlawanan persahabatan menentang Sepanyol.

Kapten pasukan England itu digugurkan dari skuad kebangsaan kerana mengalami kecederaan lutut.

Rooney tidak mengambil bahagian dalam sesi latihan bersama rakan-rakannya pagi Isnin.

Bagaimanapun, penyerang berusia 31 tahun itu tidak turun berlatih sebagai langkah pencegahan selepas mengalami kecederaan lutut yang ringan.

Pengurus sementara England, Gareth Southgate, sebelum ini pula sudah merancang untuk merehatkan Rooney dalam perlawanan menantang Sepanyol di Stadium Wembley, awal pagi Rabu.

Namun kini Rooney disahkan tidak akan turun dalam perlawanan tersebut.

Rooney telah meninggalkan pusat latihan pasukan kebangsaan dan kembali ke kelabnya, Manchester United. Dia akan menjalani pemeriksaan lanjutan untuk kecederaannya.

"Penyerang ini tidak hadir di padang latihan sebagai langkah berjaga-jaga kerana kecederaan lutut yang ringan.

"Walau bagaimanapun, dengan Gareth Southgate telah menetapkan untuk merehatkan kapten pasukan untuk perlawanan menentang Sepanyol di Stadium Wembley, Rooney telah dibenarkan kembali ke kelabnya untuk penilaian lanjut," demikian kenyataan yang dipetik dari laman rasmi FA Inggeris.

Dengan ketiadaan Rooney, Jordan Henderson akan menjadi kapten dalam perlawanan esok.

Sementara itu, bek kiri Ryan Bertrand, yang juga tidak menjalani latihan pada Isnin, akan tetap bersama pasukan The Three Lions. Dia masih berpeluang untuk tampil memberi cabaran kepada Sepanyol.

Artikel Sebelum

Artikel Lain