suria

Piala AFF: Kim Swee Buru Mata Penuh Aksi Pertama Kum B

Kim Swee (dua, kiri) memberi arahan kepada skuad negara ketika menjalani latihan di Stadium Thuwunna. Foto: Bernama

YANGON: Hanya kemenangan menjadi sasaran skuad Harimau Malaysia apabila menentang Kemboja dalam aksi pembukaan Kumpulan B bola sepak Piala AFF Suzuki di Stadium Thuwunna pada Ahad.

Bercakap dalam sidang media hari ini, ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee berkata kemenangan pasti dapat menyuntik motivasi tambahan kepada pemainnya untuk perlawanan seterusnya selain mengukuhkan peluang ke pusingan berikutnya.

"Saya percaya semua pasukan mempunyai matlamat yang sama dan pastinya kami mahu mengubah nasib pada 2014 (muncul naib juara). Saya harap dapat mencatat keputusan baik di peringkat kumpulan kerana sasaran awal kami adalah ke separuh akhir," katanya.

Mengenai Kemboja, Kim Swee mahu pemainnya tidak memandang mudah terhadap lawan itu yang kembali menyertai kejohanan dwitahunan tersebut selepas tidak menyertai tiga edisi terakhir - 2010, 2012 dan 2014.

"Kami tidak boleh menganggap mudah saingan Kemboja kerana pasukan itu menunjukkan peningkatan yang hebat dan lihat sahaja kehadiran penonton mereka di gelanggang sendiri baru-baru ini.  

"Saya percaya ia adalah perlawanan yang sukar tetapi kami tetap mahukan kemenangan," kata jurulatih kelahiran Melaka itu.

Ketua jurulatih Kemboja, Lee Tae Hoon pula berkata beliau tidak meletakkan harapan tinggi ke atas skuad mudanya tetapi mengharapkan mereka memberi saingan hebat bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga Vietnam dan tuan rumah, Myanmar.

"Semua perlawanan peringkat kumpulan ini adalah sukar dan kami akan cuba berikan tentangan. 

"Pada masa sama, saya harap ia akan membantu meningkatkan kualiti pemainsaya," kata jurulatih berasal dari Korea Selatan yang membantu skuadnya menjuarai pusingan kelayakan di laman sendiri, bulan lepas.

Satu lagi aksi Kumpulan B pada Ahad adalah antara Myanmar dan juara 2008, Vietnam yang dilangsungkan di gelanggang sama pada sebelah petang.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain