KUALA LUMPUR: Velodrom Nilai di Negeri Sembilan dipilih sebagai gelanggang Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 sesuai dengan statusnya sebagai velodrom tertutup bertaraf dunia. Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata Velodrom Nilai menjadi pilihan kerana Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak yang dicadangkan sebelum ini sudah lama tidak menganjurkan kejohanan antarabangsa. Berikutan penukaran gelanggang itu, kata Abu Samah, PKBM sendiri akan menganjurkan ACC 2018 selepas Persatuan Berbasikal Perak (PCA) menarik diri daripada menganjurkannya. "Presiden PCA, Datuk Amarjit Singh berpendapat Velodrom Rakyat wajar dijadikan gelanggang ACC 2018 kerana mahu kejohanan antarabangsa diadakan di sana selepas menjalani proses pembaikan semula. "Namun ahli exco berpandangan lebih baik sekiranya Velodrom Nilai dijadikan gelanggang ACC 2018 sesuai dengan statusnya sebagai velodrom tertutup bertaraf dunia," katanya. Malaysia diberi hak penganjuran ACC 2018 oleh Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC yang bermesyuarat di Doha, Qatar selepas Thailand dan Korea Selatan menarik diri. - BERNAMA