KUALA LUMPUR: Seperti adat orang berkahwin, apabila selesai segala majlis, pastinya pasangan pengantin akan berbulan madu ke destinasi pilihan untuk menghayati detik indah alam perkahwinan. Begitu juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Muhammad Ziyad Zolkefli dan isterinya, Zafirah Md Nasir yang sepakat memilih Bali, Indonesia sebagai lokasi berbulan madu. Mereka akan terbang ke sana pada Selasa ini. "Kami sepakat pilih Bali sebab gemarkan percutian di pulau. Lagipun orang kata Bali terkenal sebagai destinasi pilihan bulan madu untuk pasangan baharu berkahwin. "Insya-allah kami akan berlepas ke sana pada Selasa ini. Kami mengambil pakej percutian tiga hari dua malam di sana," kata Ziyad ketika ditemui mStar Online pada majlis sambut menantu di sebuah hotel di sini Ahad. Ziyad, 26, berkata dia mahu memanfaat cuti sedia ada bersama isteri tercinta sebelum kembali berlatih pada bulan depan. "Percutian ini kami rancang pada saat akhir. Inilah masa untuk kami bercuti bersama-sama dan menenangkan fikiran sebelum saya sibuk dengan latihan bulan depan," katanya. Sementara itu, Ziyad turut berkongsi bahawa dia dan isteri akan mengerjakan umrah bersama kedua ibu bapanya pada 26 Disember ini. "Alhamdulillah impian saya untuk pergi ke tanah suci bersama ibu bapa saya dan isteri akhirnya termakbul. Terima kasih saya ucapkan kepada DRB Hicom di atas tajaan pakej umrah itu," katanya. Mengulas mengenai zuriat, Ziyad dan Zafirah tidak menolak untuk diberikan rezeki awal malah bersedia dengan apa yang diberikan oleh Allah. “Ini semua ketentuan Allah. Begitulah yang terjadi dengan pernikahan ini di mana Allah tetapkan jodoh saya dengan Zafirah. “Malah, saya tidak menolak kalau diberikan zuriat dalam masa terdekat. Saya dan Ziyad akan menerimanya dengan penuh rasa kesyukuran kerana ia akan menguatkan lagi kasih sayang antara kami," kata Zafirah. Pada masa sama, Ziyad memanjatkan rasa kesyukuran kerana dapat memperisterikan Zafirah yang disifatkan sebagai wanita yang amat memahami dirinya. Jelas Ziyad, kehadiran Zafirah dalam hidupnya sudah tentu melonjak semangatnya untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang. "Selain keluarga, Zafirah turut jadi tulang belakang saya selama ini. Saya akan berusaha keras untuk memenangi lebih banyak kejohanan selepas ini," katanya. Ziyad selamat bergelar suami dengan tiga kali lafaz kepada Zafirah, kira-kira pukul 9.32 malam, 11 November lalu. Majlis resepsi Zafirah berlangsung di Dewan Serbaguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Putrajaya pada keesokan harinya. Majlis menyambut menantu di sebelah pihak keluarga lelaki pula diadakan di sebuah hotel di sini pada Ahad dalam suasana penuh meriah kira-kira 4,000 tetamu.