KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil semula khidmat jurulatih Rosman Razak bagi memperkuatkan prestasi beregu lelaki negara. Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika mengesahkan perkara itu berkata Rosman akan memulakan tugasnya awal tahun depan dengan kontrak selama dua tahun. "Kita memerlukan seorang jurulatih tempatan yang berpengalaman untuk membimbing pemain beregu negara. Rosman juga mempunyai pengalaman membimbing pemain negara sebelum ini," katanya kepada Bernama. Rosman akan bersama-sama Jeremy Gan dan Cheah Soon Kit bagi melatih beregu lelaki negara tahun depan manakala Hendrawan, Tey Seu Bock dan Indra Widjaja dikekalkan sebagai jurulatih perseorangan lelaki oleh BAM. Sebelum ini, Rosman merupakan jurulatih beregu wanita dan beregu campuran negara pada tahun 2012 sebelum membuat keputusan tidak menyambung semula kontraknya pada 2015. Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata BAM turut melantik seorang penganalisis prestasi iaitu Lim Joe Heang yang sebelum ini berkhidmat di Institut Sukan Negara (ISN). Lim akan berkhidmat secara sepenuh masa dengan BAM bagi membantu Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen memantau prestasi pemain dan jurulatih. "Tugas beliau bukan sahaja menilai prestasi atlet tetapi juga prestasi jurulatih. Ini kali pertama kita melantik seorang penganalisis prestasi di BAM," katanya. Sementara itu, Mohamad Norza berkata semua pemain badminton di bawah kendalian BAM perlu menjalani ujian kecergasan fizikal selama tiga bulan bermula Januari depan. Sekiranya gagal memenuhi standard yang ditetapkan, pemain tidak dibenarkan menyertai tiga kejohanan bermula April tahun depan. "Sekarang ini, semua pemain akan diberikan pendedahan tentang pentingnya kecergasan fizikal. Mereka perlu lebih serius jika mahu lebih kompetitif. Ujian ini turut melibatkan pemain remaja," katanya.