KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memilih laluan 'Nostalgia 2001' untuk disiplin lebuh raya Sukan SEA 2017 dengan harapan mengulangi kejayaan 15 tahun dahulu. Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab ketika mengumumkan laluan itu berkata pemilihan laluan di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan itu dibentang dan diluluskan Mesyuarat Exco badan induk berkenaan pada 19 November lalu. "Pada Sukan Sea 2001, perlumbaan 180 kilometer (km) diadakan 15 pusingan, bagaimanapun kali ini cuma 150km. Sekiranya negara lain cadangkan jarak perlumbaan dinaikkan sehingga 180km kami perlu kaji saranan tersebut. "Kita bersedia terima kritikan daripada mana-mana pihak khususnya dari Indonesia atau Filipina. Buat masa ini, jarak rasmi perlumbaan acara lepas beramai-ramai elit lelaki adalah 150km," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat. Pada 2001, Malaysia beraksi dengan cemerlang apabila pelumba Malaysia meraih tempat pertama sehingga keempat, diikuti pelumba Filipina, namun pingat gangsa terpaksa diberikan kepada Filipina kerana peraturan Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) pada temasya berkenaan tidak membenarkan tuan rumah menyapu bersih semua pingat. Pada 2001, pelumba muda Selangor, Mohd Azlan Jamaluddin melakar kejutan apabila merangkul pingat emas, perak pula diraih Wong Ah Thiam manakala pingat gangsa terpaksa diberi kepada Arnel Quirimit (Filipina). Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan Sea 1995, Tsen Seong Hoong menduduki tempat ketiga manakala Musairi Musa berada di posisi keempat. Abu Samah berkata profil laluan itu landai sepanjang perlumbaan, namun memberi kelebihan ketara kepada barisan tuan rumah yang bakal menampilkan pemecut bertaraf dunia, Mohd Harrif Salleh. "Jadi, saya harap kali ini dengan penampilan barisan terbaik rata-rata daripada pasukan benua TSG (Terengganu Cycling Team), kita boleh sapu bersih semua pingat seperti apa yang berlaku pada 2001," katanya. Dalam pada itu, pengurus pasukan basikal Sukan Sea 2017, Omar Saad percaya penampilan Mohd Harrif sebagai juara bertahan pasti memberi kelebihan psikologi kepada skuad lebuh raya Malaysia. "Saya percaya semua pelumba harus bekerja untuk Mohd Harrif dan pastikan dia tidak tercicir apabila berlaku pemecahan. "Jika perlumbaan berakhir dalam kelompok, saya percaya pingat emas pasti jadi milik Mohd Harrif," katanya. - BERNAMA