Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menjadi harapan negara untuk merangkul kejuaraan dalam acara beregu lelaki di kejohanan berkenaan, tumpas kepada pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Rian Agung Saputro.
Beregu nombor satu dunia itu bangkit di set kedua dengan kemenangan 21-17 selepas tewas 11-21 di set pertama, namun gagal mengekalkan rentak cemerlang tersebut di set penentuan apabila kalah 17-21.
Pasangan beregu lelaki nombor dua negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, bagaimanapun memberi tentangan sengit kepada beregu pilihan keempat kejohanan, Mathias Boe-Carsten Mogensen, sebelum tumpas pada pertemuan itu.
Beregu Denmark itu akan berdepan pasangan Mohammad-Rian di separuh akhir esok.
Terdahulu, pemain perseorangan lelaki bebas Chong Wei Feng gagal meneruskan rentak kemenangannya apabila tumpas 17-21, 21-23 kepada pemain India, Sameer Verma.
Walaupun mendahului 12-5 di set kedua, pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura itu gagal mencatat kemenangan ke atas pemain ranking ke-43 dunia itu.