KEPUTUSAN Nico Rosberg mengumumkan persaraan selepas lima hari dinobatkan sebagai juara dunia Formula Satu (F1), mencetuskan teka-teki siapa bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemandu Mercedes AMG Petronas itu. Antara nama yang menjadi sebutan adalah Fernando Alonso dan Jenson Button yang dianggap layak menggantikan tempat pemandu Jerman tersebut. Namun kedua-dua pemandu berpengalaman itu masing-masing mempunyai isu kontrak bersama pasukan sendiri sekiranya mahu menyertai pasukan Mercedes AMG Petronas. Juara dunia dua kali, Alonso pastinya mahu melakar kejayaan yang lebih bermakna buat kali terakhir bersama pasukannya, Mclaren selepas mendapat tawaran lumayan bernilai AS$25 juta (RM100 juta) untuk musim depan. Button pula yang mengumumkan persaraan pada Ahad lalu, dijangka kembali ke dunia F1 selepas bergelar juara pada musim 2009 bersama pasukan Brawn GP. Namun kini pemandu berusia 36 tahun itu mengikat kontrak sebagai duta pasukan Mclaren-Honda tetapi tidak terlibat dalam sebarang perlumbaan. Selain Alonso dan Button, Sebastian Vettel juga dikaitkan sebagai pengganti Rosberg tetapi kemungkinan besar pasukannya, Ferrari tidak akan membenarkan perkara itu berlaku. Sementara itu, pemandu muda berbakat besar, Max Verstappen yang baru berusia 19 tahun, tidak terkecuali walaupun telah mengikat kontrak bersama pasukan Red Bull Racing-TAG Heuer. Sementara itu, pengerusi bukan eksekutif pasukan Mercedes AMG Petronas F1 mengakui tugas untuk mencari pengganti Rosberg merupakan masalah yang besar.