suria

David Villa Pemain Paling Bernilai MLS 2015

DAVID Villa menerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) bagi aksi musim lalu selepas merekodkan 41 gol dalam tempoh dua tahun menyertai  New York City dalam saingan Major League Soccer (MLS).

Bekas penyerang pasukan juara dunia, Sepanyol itu berjaya mengetepikan dua pemain New York Red Bulls, Sacha Kljestan dan Bradley Wright-Philips dalam perebutan gelaran itu.

Villa merupakan pemain kelab pertama yang merangkul gelaran ini selepas meninggalkan Atletico Madrid pada tahun 2014 sebagai pemain bebas.

Malah Villa menjadi pemain kesayangan penyokong-penyokong sejak menyertai kelab ini dengan meledak 18 gol dalam 30 perlawanan ketika tahun pertama tiba di situ.

Malah aksi pemain berusia 35 tahun ini semakin mantap apabila merekodkan 23 gol dalam 34 perlawanan musim ini sekaligus membantu City berada di kedudukan kedua keseluruhannya.

"Saya amat berbangga mewakili NYCFC dan menerima anugerah ini.

"Hari paling bersejarah kerana ini merupakan salah satu perkara yang saya mahu lakukan apabila tiba di sini dua tahun lalu," jelasnya.

"Malah ia merupakan hari paling bermakna dalam karier saya. Anugerah ini untuk pemain terbaik dalam liga yang menakjubkan kerana ramai pemain berkualiti yang menambahkan lagi kegembiraan saya di sini," jelasnya.

Bekas pemain Barcelona itu menerima hampir 26 peratus undian, manakala Kljestan dan Wright-Philips masing-masing 19.3 dan 17.6 peratus.

Villa yang juga kapten pasukan masih mempunyai baki kontrak setahun bersama NYCFC.

David Villa, MLS, NYCFC

Artikel Lain