MADRID: Cristiano Ronaldo mendedahkan rekod kewangannya, yang menyaksikan bintang Real Madrid itu mengisytiharkan pendapatan lebih 225 juta Euro (RM1.056 billion) pada 2015 bagi mengelak dikenakan tindakan penipuan cukai. Sebuah konsortium organisasi media antarabangsa mendakwa hasil kebocoran data yang besar membabitkan 18 juta dokumen, menunjukkan kapten skuad kebangsaan Portugal itu menyembunyikan 150 jura euro (RM704.16 juta) yang diperoleh daripada hak imejnya di Kepulauan Virgin British. Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu mendedahkan secara terperinci pendapatannya pada 2015 yang diserahkan kepada pihak berkuasa cukai di Sepanyol. Prosedur terbabit yang dikenali sebagai 'Model 720' dan dipercayai dibentangkan kepada pegawai tertinggi cukai pada Mac lalu menunjukkan Ronaldo memperoleh 203.7 juta euro (RM956.25 juta) di luar Sepanyol dan 23.5 juta euro (RM110.32 juta) di negara terbabit. "Dokumen itu mengesahkan yang Agensi Cukai Sepanyol mengetahui segala aset dan pendapatan Cristiano Ronaldo," kata kenyataan yang dikeluarkan syarikat pengurusannya Ronaldo, Gestifute. "Seperti yang dilaporkan beberapa hari lalu, pemain ini sedar dengan tanggungjawab cukai sejak awal karier profesionalnya dan tidak akan dan tidak pernah berdepan sebarang isu dengan pihak berkuasa cukai di mana-mana negara-negara yang ada kaitan dengannya. "Komunikasi yang tidak memerlukan peruntukan undang-undang ini adalah bukti bahawa Cristiano Ronaldo dan wakil-wakilnya mempunyai niat baik dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan telus." Awal pagi Khamis lalu, Ronaldo kelihatan sudah bersedia serta yakin dia tidak melakukan sebarang kesalahan. "Sesiapa yang tidak mempunyai kesalahan, tidak akan takutkan apa-apa," kata Ronaldo ketika menjawab soalan mengenai situasi terbabit oleh televisyen Portugal, RTP. Rabu lalu, Real turut melahirkan sokongan mereka terhadap pemainnya itu. "Real Madrid mahukan rasa hormat yang maksimum terhadap pemain seperti Cristiano Ronaldo, yang mana sikapnya menjadi contoh sepanjang masanya bersama kelab ini," kata Real dalam satu kenyataan. - AFP