KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara gagal menyaingi kehebatan pasukan Belanda apabila kalah 7-2 pada perlawanan pembukaan Kumpulan B pada Kejohanan Piala Dunia Remaja di Lucknow, India, Jumaat. Dalam cuaca sejuk di Stadium Hoki Major Dhyan Chand, skuad negara turun dengan semangat yang tinggi apabila menampilkan aksi terpuji bagi menghalang gerakan pasukan lawan pada awal perlawanan. Bagaimanapun, skuad bimbingan Wallace Tan itu diuji apabila Thija van Dam mengalahkan penjaga gol negara, Muhammad Zaimi mat Deris dengan pukulan kencang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-19. Belanda kemudian menambah dua jaringan menerusi Thierry Brinkman dan Bram van Groesen menerusi pukulan sudut penalti, masing-masing pada minit ke-28 dan 33 untuk mendahului 3-0 pada separuh masa. Pada babak kedua, Belanda, bekas juara remaja Eropah 2014, menambah empat lagi gol menerusi Terrance Pieters (minit ke-40), Daniel Aarts (44'), Jorrit Croon (49') dan pukulan penalti strok oleh Van Groessen pada minit ke-63. Bagaimanapun, Malaysia tetap memberi tentangan pada babak kedua perlawanan dengan Muhammad Hafizhuddin Zaidi merapatkan jurang jaringan pada minit ke-59, diikuti Amirol Aideed Arshad pada minit ke-65. Malaysia, yang menggantikan Pakistan, pada saat-saat akhir kejohanan, akan menentang Mesir, Ahad ini dan akan melengkapkan jadual perlawanan kumpulan dengan bertemu Belgium, Isnin ini. - BERNAMA