PARIS: Andy Murray melengkapkan kecemerlangan musim ini apabila dinamakan sebagai Juara Dunia Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) bagi tahun 2016 bersama abangnya, Jamie. Ini adalah kali pertama dua adik-beradik ini telah dinamakan sebagai Juara Dunia iaitu bagi perseorangan lelaki dan beregu lelaki pada tahun yang sama. Angelique Kerber pula memenangi anugerah bagi perseorangan wanita, menjadi Juara Dunia pertama di Jerman, sejak Steffi Graf memegang gelaran itu pada tahun 1996. Andy Murray dinobatkan sebagai pemain nombor 1 dunia selepas menewaskan Novak Djokovic dalam pusingan akhir Jelajah Dunia ATP. Pemain berusia 29 tahun itu memenangi sembilan kejuaraan pada tahun ini, termasuk mahkota kedua Wimbledon dan emas kedua perseorangan lelaki di Olimpik di Rio. "Ia amat bermakna kepada saya apabila dinamakan ITF sebagai Juara Dunia," kata Murray. "Tahun ini pasti tidak akan saya lupakan, menang sekali lagi di Wimbledon, mengekalkan gelaran Olimpik, dan merangkul gelaran nombor 1 dunia dalam perlawanan terakhir musim ini. "Ia amat istimewa apabila abang saya Jamie juga menjadi Juara Dunia." Kerber, 28, mengalahkan Serena Williams sebelum menjuarai Terbuka Australia, sebelum memenangi Terbuka Amerika Syarikat dan pingat perak di Sukan Olimpik. Jamie Murray dan Bruno Soares dinamakan sebagai Juara Dunia beregu lelaki, manakala pasangan Perancis, Caroline Garcia dan Kristina Mladenovic memenangi anugerah itu untuk beregu wanita.