suria

Guardiola Siap Sedia Kena Pecat

Pep Guardiola. -fotoAP

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola menafikan dirinya 'kebal' daripada dipecat.

Guardiola berkata, seperti pengurus kelab lain, dirinya juga terdedah kepada pemecatan jika gagal menunjukkan rekod baik untuk kelab yang dibimbingnya.

Dalam kesemua 15 perlawanan terakhir melibatkan The Citizens, kelab ini hanya menang empat kali dan kalah lima kali.

Justeru Guardiola kini dikatakan menerima tekanan dan mungkin akan dipecat jika tidak dapat memperbaiki segera prestasi City.

Namun bagi Guardiola, dia tidak berasa cemas kerana menganggap perkara ini perlu dihadapi mana-mana pengurus bola sepak.

"Dalam bola sepak, tidak ada istilah projek jangka panjang. Anda perlu mampu meraih trofi dengan cepat, jika tidak anda akan berada dalam masalah," kata Guardiola memetik Soccernet.

"Anda akan mencari banyak alasan ketika tidak menang, mungkin alasannya lawan itu lebih baik. Biasanya, apabila melakukan kesalahan, ia perlu diminimakan untuk mencapai kemenangan.

"Saya yakin dengan permainan kami, jika masih tidak berhasil, keputusan akhir berada di tangan pemilik kelab," katanya.

Sepanjang kerjayanya, Guardiola cukup sinonim dengan gelaran juara.

Di Barcelona, Guardiola meraih 14 gelaran dalam masa empat tahun sebelum berundur pada 2012.

Selepas setahun, Guardiola membimbing Bayern Munich dan berjaya mendapat tiga gelaran dalam Bundesliga. Tiga tahun kemudian, Guardiola memutuskan untuk membimbing City.

Penampilannya bersama City mencatatkan permulaan sempurna dengan 10 kemenangan berturut-turut dalam 10 perlawanan pertamanya musim ini.

Dalam penampilan terkini Liga Perdana Inggeris, City menelan dua kekalahan berturut-turut iaitu ke atas Chelsea dan Leicester City. 

Pep Guardiola, pecat, Manchester City

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

FA Denda Chelsea, Man City

Artikel Lain