suria

MPM Yakin Kontinjen Negara Mampu Perbaiki Pencapaian Para ASEAN Di Singapura

SM Nasaruddin SM Nasimuddin.

KUALA LUMPUR: Kontinjen paralimpik negara optimis mampu menduduki dua kedudukan terbaik pada Temasya Sukan Para ASEAN kesembilan di Kuala Lumpur tahun depan.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasaruddin SM Nasimuddin berkata sukan olahraga, renang, badminton dan boling merupakan antara prospek pingat emas pada temasya dwitahunan yang akan berlangsung pada 17 hingga 23 September depan.

Enam belas acara pada Sukan Para ASEAN 2017 adalah memanah, olahraga, badminton, boccia, catur, berbasikal, bola sepak lima sebelah, bola sepak tujuh sebelah, goalball, powerlifting, bola tampar duduk, renang, ping pong, boling, tenis berkerusi roda dan bola keranjang berkerusi roda.

Acara dan disiplin bagi setiap sukan yang bakal dipertandingkan akan dimuktamadkan pada tarikh kemudian selepas perbincangan dengan Persekutuan Antarabangsa (IF) dan Delegasi Teknikal sukan-sukan berkenaan.

Sukan Para ASEAN 2017 dijangka menampilkan lebih 350 acara, dengan penyertaan kira-kira 3,000 atlet dan pegawai daripada kesemua 11 negara ASEAN termasuk Timor Leste.

"Acara yang akan dipertandingkan telah dipersetujui oleh Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) dan Kementerian Belia dan Sukan. Kita menyasarkan kedudukan lebih baik daripada pencapaian di Sukan Para Asean Singapura 2015 yang mana kontinjen (Malaysia) muncul tiga pasukan terbaik.

"Dari segi jumlah sasaran pingat, kami belum mendapat jumlah yang muktamad kerana perlu mengikut jumlah acara dan disiplin yang akan dipertandingkan nanti, kita jangkakan pada Mac depan MPM akan mengumumkan jumlah acara dan disiplin," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini Rabu.

Venue sukan yang terlibat adalah Stadium Bukit Jalil, Bukit Kiara, Sunway Pyramid dan dua tempat di Nilai.

SM Nasaruddin berkata acara pelayaran dan menembak yang digugurkan pada kali ini kerana kekurangan penyertaan negara-negara anggota ASEAN lain bagi acara itu nanti.

"Kita perlu sekurang-kurangnya mempunyai empat negara yang mahu mengambil bahagian dalam sesuatu acara," katanya.

Pada edisi dua tahun lepas kontinjen negara berada dalam kedudukan tiga terbaik dengan kutipan 52 pingat emas, 58 pingat perak dan 37 pingat gangsa.

Sementara Ketua Kontinjen Sukan Para Asean Kuala Lumpur, Datuk Subramaniam Raman ketika ditemui berkata beliau yakin kontinjen negara mampu memungut 60-70 pingat emas pada temasya itu nanti.

Beliau percaya kemampuan atlet paralimpik mempunyai keupayaan luar biasa dan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada edisi kali ini.

"Beraksi di laman sendiri adalah satu kelebihan untuk kontinjen sendiri dan saya percaya atlet lebih bersemangat walaupun kita akui kontinjen Thailand masih lagi saingan yang kuat. Saya percaya semua atlet sedang berusaha dalam persiapan mereka untuk Sukan Para ASEAN nanti," katanya. - BERNAMA

Para Asean 2017, MPM

Artikel Sebelum

Artikel Lain