PUTRAJAYA: Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) diminta membenarkan pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beraksi dalam saingan Piala FAM 2017. Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaku penaung KLFA berkata persatuan itu seharusnya membenarkan DBKL beraksi pada kejohanan itu memandangkan skuad tersebut sebelum ini telah berjaya mencungkil ramai bakat baru bagi diketengahkan. Mengakui belum mengetahui punca sebenar skuad DBKL itu tidak dibenarkan beraksi, Tengku Adnan berkata beliau akan berbincang dengan KLFA mengenainya. Mengenai dakwaan antara puncanya adalah DBKL bukan anggota gabungan KLFA dan tidak membayar yuran, Tengku Adnan berkata ia bukan masalah yang tidak boleh diselesaikan. "Kalau dia bukan ahli gabungan terimalah ia sebagai ahli dan DBKL pun boleh membayar yuran itu. Tidak ada salahnya menerima mereka kerana sukan adalah antara kaedah merapatkan silaturahim antara masyarakat tidak kira kaum," katanya. Tengku Adnan berkata demikian sebagai mengulas laporan KLFA tidak memberi kebenaran kepada DBKL beraksi dalam saingan Piala FAM 2017 ketika ditemui pada majlis penyerahan beg sekolah kepada murid tahun satu sesi 2017 di sekitar Putrajaya di sini Rabu. Kali terakhir DBKL menjuarai Piala FAM ialah pada 1990. - BERNAMA