suria

FAM Perlu Diterajui Individu Berpengetahuan Luas Dalam Bola Sepak

Santokh Singh.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu diterajui individu yang mempunyai pengetahuan luas mengenai bola sepak bagi mengembalikan kegemilangan sukan tanah air, kata legenda bola sepak negara.

Datuk Santokh Singh menegaskan ia penting bagi memastikan badan induk itu dapat menjalankan peranannya dengan lebih berkesan.

"Individu yang pernah bermain bersama negeri atau negara juga sepatutnya duduk dalam persatuan itu. Saya melihat bekas pemain negara perlu diberi peluang untuk berada dalam FAM," katanya.

Santokh berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan lelongan amal anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) di ibu pejabat MIA di sini.

Bekas pemain pertahanan negara era 70-an itu turut menegaskan sudah tiba masanya perubahan menyeluruh melibatkan pucuk pimpinan FAM dilakukan susulan kegagalan skuad Harimau Malaysia pada saingan Piala AFF Suzuki di Myanmar, bulan lepas.

"Piala AFF pun pasukan kita tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan,  bukankah itu maksudnya kita perlu melakukan perubahan menyeluruh terhadap FAM," katanya.

Sebelum ini, pemilik kelab Johor Darul Ta'zim Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan Tunku Mahkota Johor, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat disebut-sebut sebagai antara calon untuk jawatan Presiden FAM.

Pada majlis berkenaan, Santokh dan Presiden MIA Datuk Mohammad Faiz Azmi menyerahkan hasil lelongan sebiji bola berjumlah RM25,000 kepada wakil Tabung Amanah Kanser Urologi.

Bola itu yang ditandatangani Santokh bersama tiga lagi legenda bola sepak negara iaitu Datuk Soh Chin Aun, Datuk Hassan Sani dan Datuk James Wong berjaya dijual pada satu lelongan amal bulan lepas.

Tabung Amanah Kanser Urologi ditubuhkan Blue Cap Movement di bawah Universiti Malaya pada tahun lepas bagi membantu mengurangkan kos rawatan yang dihadapi pesakit kanser prostat. - BERNAMA
FAM, Santokh Singh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain