suria

Chong Wei Perlu Tundukkan Axelsen Untuk Ke Separuh Akhir

Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara kini perlu meraih kemenangan ke atas pemain Denmark, Viktor Axelsen untuk memastikan tiket ke separuh akhir Siri Super Dunia di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat.

Chong Wei menghidupkan kembali peluangnya selepas mengambil masa 40 minit untuk menundukkan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong dalam perlawanan kedua Kumpulan B dengan 21-15, 22-20 di Kompleks Sukan Hamdan pada Khamis.

Berdasarkan rekod pertemuan, Chong Wei masih kekal dengan rekod tanpa kalah bertemu Axelsen sebanyak sembilan kali sejak 2011.

Chong Wei, 34, tewas pada perlawanan pertama menentang pemain Korea Selatan, Son Wan Ho dengan 10-21, 16-21, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.

Pemenang pertemuan antara Son dan Axelsen pada Khamis akan mara ke separuh akhir.

Axelsen menang dalam aksi pertamanya menentang Angus pada Rabu.

Hanya dua pemain terbaik setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Chong Wei pernah menjuarai kejohanan Siri Super Dunia sebanyak empat kali pada 2008, 2009, 2010 dan 2013.

Dalam pada itu, beregu lelaki pilihan kedua kejohanan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong layak ke separuh akhir selepas berhempas pulas hampir sejam untuk mengalahkan gandingan Li Junhui-Liu Yuchen dari China, 18-21, 21-19, 21-19.

V Shem-Wee Kiong mendapat kemenangan percuma pada perlawanan pertama Kumpulan B apabila beregu Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen menarik diri daripada kejohanan itu.

Cabaran beregu wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei berakhir selepas tewas 19-21, 17-21 dalam perlawanan kedua mereka menentang Jung Kyung Eun-Shin Seung Chan dari Korea Selatan.

Mereka tewas dalam aksi pertama di tangan beregu Denmark, Kamilla Rytter Juhl-Christinna Pedersen, Rabu. - BERNAMA

Lee Chong Wei, Siri Super Dunia

Artikel Berikut

Artikel Lain