MANCHESTER United terus mempamerkan prestasi terbaik dengan memenangi empat perlawanan berturut-turut selepas menundukkan West Brom 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi Ahad. United tidak perlu menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila Zlatan Ibrahimovic menanduk masuk gol pertama seawal minit kelima. Anak buah Jose Mourinho itu nyaris menemui gol ketiga tetapi percubaan Wayne Rooney terkena palang. Rooney pula perlu menunggu sedikit masa lagi untuk menyamai rekod Sir Bobby Charlton yang menjaringkan 249 gol untuk United. Namun Ibrahimovic yang bangkit membantu United terus berada di depan pada minut ke-56 apabila menjaringkan gol ke-16 pada musim ini. Hasil kemenangan itu Red Devils kini menduduki tangga keenam berkongsi mata dengan Tottenham yang berada di tempat kelima. Mourinho yang berpuas hati dengan keputusan itu memuji persembahan Ibrahimovic yang disifatkan sebagai seorang pemain yang hebat. "Dia tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa tetapi apabila buat keputusan untuk datang ke England bagi karier terakhirnya, saya fikir dia berjaya membuktikan dirinya sebagai seorang superman. “Apa yang dilakukannya pada usia 35 tahun menjadi impian penyerang yang berusia 25 tahun dalam Liga Perdana Inggeris. Saya perlu memberi peluang dia berehat. Sekarang kami ada sedikit masa untuk berehat. Ia bukan untuk dirinya tetapi kepada semua pemain,” kata Mourinho.