suria

Perjalanan Skuad PPBN Ke Piala Dunia B-17 Bermula September 2017

Lim Teong Kim

KUALA LUMPUR: Perjalanan skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) untuk ke Piala Dunia Bawah 17 (B-17) akan bermula September tahun depan.

Barisan anak buah Lim Teong Kim itu akan memulakan saingan untuk mencipta sejarah layak ke Piala Dunia 2019 B-17 dengan menyertai kelayakan Piala AFC B-16 pada September tahun depan, untuk mencari slot automatik ke Piala Dunia itu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata bagi merealisasikan impian itu, ketua jurulatih Lim Teong Kim dilantik untuk menjadi Pengarah Akademi Bola Sepak Negara untuk memberi tumpuan kepada skuad elit remaja negara.

Tiga lagi jurulatih baharu dari luar negara dilantik bagi membantu dari segi pemantauan teknikal program itu iaitu Saad Ecallele, bekas jurulatih pasukan remaja Paris St Germain (PSG); Frank Plain, bekas jurulatih prestasi PSG dan Abdi Hassan, bekas jurulatih pasukan remaja FC Twenty.

Rakan PPBN, Queens Park Rangers juga akan membantu dalam aspek bimbingan kejurulatihan, kata Khairy pada sidang media selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala Supermokh di sini hari ini.

Untuk rekod, terdapat 123 pusat PPBN di seluruh negara dan jumlah itu akan bertambah menjadi 128 buah menjelang hujung tahun hadapan.

Sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk program itu, dengan RM7.5 juta daripadanya diperoleh hasil sumbangan badan bukan kerajaan dan tajaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain