suria

Kerajaan Kelantan Jumpa Kafa

KOTA BARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pada 1 Januari depan bagi menyelesaikan kemelut kewangan yang melanda badan induk itu, bagi membolehkan The Red Warriors terus bersaing dalam Liga Malaysia tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata dalam pertemuan tersebut, kerajaan negeri akan meneliti hasil kongres luar biasa Kafa yang akan diadakan pada 29 Disember ini berhubung perkara tersebut.

"Kita hendak tahu apa isu sebenarnya sebab kita tidak pernah tahu kerana tiada wakil kerajaan negeri dalam Kafa. Kita tidak yakin kemelut ini hanya kerana isu dana sehaja, kemungkinan ada isu lain," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Abdul Fattah berkata bola sepak merupakan acara sukan utama di Kelantan dan kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan bagi pembangunan sukan itu.

"Kami meletakkan satu harapan tinggi supaya Kafa dapat mengambil langkah positif memastikan Kelantan dapat meneruskan saingan dalam Liga Malaysia musim depan," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga meletakkan harapan agar kongres luar biasa itu akan membawa perubahan kepada Kafa terutama diuruskan sepenuhnya oleh golongan profesional dalam bidang sukan bola sepak.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kafa memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan itu bagi musim depan dan difahamkan kantung persatuan itu ketika ini hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil.

Keputusan terakhir sama ada Kelantan akan menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia untuk musim depan akan dibuat menerusi kongres luar biasa Kafa itu.

Kafa, Liga Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain