suria

Persiapan Skuad Terjun Menjelang Sukan SEA 2017 Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR: Persiapan skuad terjun negara pada waktu ini untuk menghadapi Sukan SEA 2017 tidak menghadapi sebarang masalah malah, berada di landasan yang tepat dan berjalan seperti yang dirancang.

Pengurus skuad terjun negara, Siow Kian Wah berkata dalam masa terdekat ini mereka akan menyertai beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa yang bakal menjadi medan untuk menilai tahap prestasi atlet sebelum mereka dipilih untuk menjalani latihan intensif di China.

Beliau berkata selepas fasa ketiga pemilihan tamat, hanya mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang sahaja akan terpilih untuk di bawa ke China sebelum pulang menyambung latihan di Kompleks Renang Kuala Lumpur, Cheras sebagai persiapan terakhir.

"Kami tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan persiapan kerana atlet dan semua jurulatih berkerjasama membantu antara satu sama lain untuk meningkatkan prestasi.

"Kita juga akan menghantar mereka menyertai beberapa kejohanan sebelum memilih hanya yang terbaik untuk dibawa berlatih ke China dan kemudian pulang ke Malaysia untuk membuat persiapan terakhir sebelum Sukan SEA bermula," katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Atlet Kita Juara di sini, Rabu.

Dalam pada itu, Siow turut optimis skuad terjun negara mampu mencipta kejayaan pada temasya Sukan SEA itu nanti.

"Sebanyak 13 acara dipertandingkan pada Sukan SEA nanti dan kita akan berusaha yang terbaik untuk meraih kejayaan dalam setiap acara tersebut," katanya.

Sementara itu, atlet terjun Loh Zhiayi mengakui kejayaan meraih pingat emas dan perak di Kejohanan Terjun Terbuka Hong Kong serta gangsa pada Kejohanan Akuatik Asia di Tokyo, Jepun baru-baru ini sedikit sebanyak menyuntik semangat beliau untuk terus melakar kejayaan.

"Kejayaan meraih pingat emas dan perak di Hong Kong serta gangsa di Jepun adalah pencapaian terbaik tahun ini dan saya berharap dapat teruskan kejayaan ini dengan sekurang-kurangnya meraih satu pingat emas pada Sukan SEA tahun depan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Kerajaan Kelantan Jumpa Kafa

Artikel Berikut

Artikel Lain