suria

Kvitova Berehat Tiga Bulan Selepas Jalani Pembedahan

Petra Kvitova.

PETRA Kvitova mengalami kerosakan saraf dan tendon di tangan kirinya akibat diserang menggunakan pisau oleh pencuri yang memecah masuk rumahnya di bandar Prostejov, timur Czech pada Selasa.

Akibat serangan itu, dia terpaksa menjalani pembedahan yang memaksanya untuk berehat sekurang-kurangnya tiga bulan pada musim baharu akan datang.

Kvitova selamat menjalani pembedahan yang mengambil masa selama tiga jam dan 45 minit.

Dia mengalami kecederaan parah di empat bahagian jarinya di tangan kiri yang juga, tangan yang digunakan untuk beraksi di gelanggang.

"Kecederaan itu amat serius tapi pakar bedah memaklumkan Petra masih muda dan sihat. Tiada sebab mengapa dia tidak boleh meneruskan kariernya.

"Mengambil kira tahap kecederaan yang serius itu, pembedahan berjalan dengan lancar.

"Doktor memulihkan kerosakan tendon di semua jari di tangan kirinya dan dua urat saraf. Petra akan memakai kas selama enam hingga lapan minggu. Kami harap akan mendapat lebih banyak maklumat untuk anda semua esok," kata pegawai seranta pemain itu, Karel Tejkal.

Kvitova akan terlepas saingan Terbuka Australia bulan depan tetapi selepas mengambil kira insiden yang menimpanya sekurang-kurangnya dia kini menarik nafas lega kerana terselamat.

Pemain ranking ke-11 dunia itu memenangi 19 trofi kejuaraan termasuk Wimbledon pada 2011 dan 2014.

Petra Kvitova, tenis

Artikel Lain