suria

Barcelona Sedia Jadikan Messi Pemain Terima Gaji Tertinggi Di Dunia

Lionel Messi.

LIONEL Messi akan menjadi pemain menerima gaji paling tinggi di dunia sekiranya dia menandatangani kontrak baharu bersama Barcelona, kata presiden kelab itu, Josep Maria Bartomeu.

Cristiano Ronaldo dilaporkan bersetuju dengan bayaran sebanyak 365,000 pound seminggu selepas mengikat kontrak lima tahun bersama Real Madrid bulan lalu tetapi Bartomeu mendakwa Barca akan membayar gaji lebih tinggi untuk menyekat Messi daripada meninggalkan Camp Nou.

Difahamkan kontrak penyerang kebangsaan Argentina itu akan tamat pada 2018.

Messi dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City manakala Hebei China Fortuna yang dikendalikan Manuel Pellegrini dalam aksi Liga Super China juga sanggup membayar 500 juta pound setahun kepada pemain itu untuk menyertai kelab tersebut.

Namun Barcelona tidak terlalu bimbang mengenai prospek kehilangan Messi.

"Tidak dinafikan bahawa lambat laun kita akan memperbaharui kontrak dengan Messi.

"Saya harap dia akan menamatkan kariernya di sini, dan selepas itu saya yakin dia akan terus dikaitkan dengan kelab ini.

"Dia adalah pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dan kami akan berusaha keras untuk memperbaharui kontraknya," kata Bartomeu.

Bartomeu turut mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila mendakwa Messi lebih layak mendapat anugerah Ballon d'Or berbanding Ronaldo.

"Pada saya, anugerah Ballon d'Or sepatutnya menjadi milik Messi setiap tahun.

"Anda tidak perlu menjadi peminat Barca untuk memberi merit kepada Messi. Dia merupakan pemain No.1, itu tidak dapat dinafikan," katanya.

Lionel Messi, Barcelona

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain