JAMIE Vardy akan terlepas perlawanan menentang Everton, West Ham United dan Middlesbrough selepas gagal dalam rayuannya terhadap penggantungan tiga perlawanan bagi hukuman kad merah yang diterima semasa pertembungan di Stadium bet365, Sabtu lalu. Penyerang berusia 29 tahun itu dilayangkan kad merah pada babak pertama ketika Leicester terikat 2-2 dengan Stoke selepas pengadil Craig Pawson mendapati Vardy melakukan terjahan serius ke atas Mame Diouf. Pengurus Stoke, Mark Hughes mendakwa Vardy 'hilang kawalan' apabila membuat terjahan kasar itu. Sementara itu, Pengurus Leicester Claudio Ranieri tidak gembira dengan keputusan Pawson dan bersemuka dengan pengadil itu di atas padang pada babak pertama perlawanan. Ranieri merasakan Vardy sepatutnya dilayangkan kad kuning di atas kekasaran yang dilakukannya. "Dia mahu mencabar pemain lawan untuk mendapatkan bola, bukan melakukan kekasaran. Dia menyentuh bola itu, mungkin ia sepatutnya kad kuning," kata Ranieri. Vardy akan terlepas kunjungan ke Everton pada aksi Boxing Day begitu juga perlawanan di gelanggang sendiri menentang West Ham pada sambutan Tahun Baru dan kunjungan ke Middlesbrough pada 2 Januari depan. Ia merupakan kad merah kedua dipungut penyerang England itu pada tahun ini selepas kali terakhir diperintah keluar padang ketika terikat 2-2 menentang West Ham pada April lalu. Juara Liga Perdana Inggeris musim lalu itu kini menduduki tangga ke-15 dengan mengutip 17 mata daripada 17 perlawanan.