suria

Khairul Fahmi Kembali Bergelar Penjaga Gol No.1 Negara

SHAH ALAM: Penjaga gol pasukan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat kembali mengambil alih gelaran Penjaga Gol Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 (ABK2016).

Khairul Fahmi,27, atau lebih dikenali dengan panggilan Apek merupakan pemegang gelaran penjaga gol No.1 negara bagi tiga tahun beturut-turut bermula 2010 hingga 2013.

"Alhamdulillah, saya ingin berterima kasih kepada pihak pengurusan serta peminat pasukan Kelantan yang sentiasa menyokong saya. Kemenangan ini merupakan pemangkin untuk saya terus bekerja lebih keras pada masa akan datang.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian saya secara individu pada kali ini. Bagi saya, semua rakan penjaga gol yang ada sekarang mempunyai kehebatan masing-masing. Cuma tahun ini rezeki lebih berpihak kepada saya," jelasnya.

Dalam pada itu, penjaga gol kebangsaan ini berharap agar situasi sukar Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang kini berdepan dengan masalah kewangan dan tajaan tidak berpanjangan.

"Saya harap situasi itu tidak akan panjang dan Kelantan mampu mencari jalan agar kami boleh terus beraksi dalam Liga Super musim depan.

"Pun begitu, sebagai pemain, kami tetap menjalankan tugas masing-masing dan bersedia dengan segala kemungkinan nanti," ujarnya ringkas.

Sebagai rekod, anugerah ABK2014 dimenangi penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid manakala tahun berikutnya dinobatkan kepada Mohd Farizal Marlias dari pasukan Johor Darul Ta'zim.

Artikel Lain