suria

Schneiderlin Mahu Angkat Kaki, Mourinho Beri 'Lampu Hijau'

Jose Mourinho (kiri) bercakap sesuatu dengan kapten Wayne Rooney.
MORGAN Schneiderlin mendapat restu Jose Mourinho untuk meninggalkan Manchester United.

Mourinho berpandangan ia perlu dilakukan untuk kebaikan karier Schneiderlin.

Masa depan Schneiderlin sebelum ini menjadi spekulasi disebabkan dia tidak diberikan banyak peluang untuk turun bermain pada musim ini.

Dia hanya sempat 'merasa' bermain 11 minit dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, satu peluang yang tidak memberikan banyak kelebihan dari segi perkembangannya.

Disebabkan itu juga, Schneiderlin hilang tempat dalam pasukan kebangsaan Perancis.

Schneiderlin dikatakan sedang mencari kelab baharu yang dapat memberikannya peluang untuk terus bermain pada perpindahan musim sejuk ini.

Hasrat Schneiderlin itu mendapat lampu hijau daripada Mourinho yang bersedia melepaskan pemain berusia 27 tahun itu.

West Bromwich Albion dikhabarkan sudah mengajukan tawaran  £13 juta yang diterima United.

Malah, Everton turut dikaitkan mahu mendapatkan khidmat pemain ini.


"Dia seorang yang sangat profesional, seorang pemain yang hebat. Sangat jujur, sangat terbuka, dan dia telah membuka hatinya beberapa kali," kata Mourinho, memetik Soccerway.

"Jawapan saya mudah. Jika dia sentiasa bermain dengan saya, saya berhak untuk kata 'jangan harap'. Jika tidak, saya tidak ada hak untuk beritahu pemain 'anda tidak akan boleh ke mana-mana.

"Jadi, jika lembaga fikir tawaran itu adalah tawaran yang baik berhubung seorang pemain berkualiti seperti Morgan, saya tidak akan menghalangnya daripada pergi."

Dibeli dari Southampton musim panas 2015, Schneiderlin tampil 47 kali dan menjaringkan satu gol bersama United.

Artikel Sebelum

Artikel Lain