suria

Raja Muda Selangor Desak Exco FAS Berundur

PETALING JAYA: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) segera dirombak susulan kemelut badan induk itu yang dilihat tidak berkesudahan.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram pada Jumaat malam, Tengku Amir berkata keluhan yang disuarakan penyokong The Red Giants berkaitan FAS menimbulkan kebimbangannya.

Tegas Tengku Amir, amat jelas pengurusan FAS perlu diserahkan kepada muka-muka baharu bagi memperbaiki mutu pasukan Selangor.

"Beta menyarankan agar rombakan drastik dilaksanakan oleh FAS sendiri. Berleluasanya politik, cara pengendalian yang lapuk, wujudnya mentaliti terlalu mengharapkan subsidi sama sekali harus dihapuskan.

"Sekiranya barisan exco sedia ada tidak dapat memperbaiki situasi dalam masa yang terdekat, beta cadangkan agar mereka berundur secara terhormat supaya pasukan berkebolehan yang baharu dapat memulihkan organisasi yang tenat ini," katanya.

Tambah Tengku Amir, rombakan yang dicadangkan perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk perlembagaan, aspek pembangunan bola sepak, infrastruktur dan pemasaran sukan bagi menjana pendapatan untuk FAS.

"Beta sarankan agar Presiden FAS memperkenalkan barisan baharu yang bebas daripada unsur-unsur politik, berdasarkan merit, bertenaga dan paling penting dapat membuahkan hasil yang positif terhadap pasukan bola sepak kesayangan rakyat negeri Selangor.

"Kita sebagai penyokong harus percaya dan berpegang teguh bersama pemain-pemain yang sedia ada kerana kita harus mengakui bahawa kita terpaksa mengharungi kesukaran kerana tindakan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab sebelum Gergasi Merah bangkit semula.

"Akan tetapi untuk kembali kepada zaman kegemilangan kita, nafas baharu harus dihembus maka orang-orang lama yang dihormati perlu berundur," katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa FAS bakal bergerak sendiri dalam memastikan The Red Giants tetap bersaing dalam Liga Malaysia meskipun berkemungkinan tidak lagi mendapat sokongan kerajaan negeri dari segi mencari dana.

Difahamkan segala peruntukan kerajaan negeri hanya akan disalurkan kepada PKNS FC seperti didedahkan oleh bekas pengurus Selangor, Amiruddin Shari pada November lalu.

Artikel Berikut

Artikel Lain