BINTANG Real Madrid Cristiano Ronaldo tampil memberikan sokongan moral terhadap mangsa korban perang di Syria, khususnya di Aleppo. Selain itu, pemain dari Portugal tersebut juga bermurah hati menyalurkan sumbangan kepada mereka secara sukarela. Ronaldo yang baharu saja dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia 2016 dilaporkan akan memberi sumbangan untuk membeli makanan, pakaian dan ubat-ubatan untuk keluarga yang tinggal di Aleppo dan mangsa lain. "Ini untuk anak-anak di Syria. Kami tahu anda semua sangat menderita. Saya adalah pemain sangat terkenal, tapi anda semua adalah wira sebenar. Jangan putus harapan. Dunia bersama anda. Kami mengambil berat tentang anda. Saya sentiasa bersama anda," kata Ronaldo dalam satu rakaman video khas. "Sumbangan sukarela daripada Cristiano Ronaldo akan membantu kami untuk terus memberi sokongan kepada anak-anak Aleppo dan seluruh Syria, yang mengalami penderitaan yang tak sepatutnya berlaku dalam hidup mereka," kata Pengarah Save the Children, Nick Finney.