KUALA LUMPUR: Gol menarik Mohd Faiz Subri yang dimuatnaik di YouTube oleh FIFATV kini mencecah lebih dua juta tontonan. Setakat 12.30 tengah hari Isnin, video tersebut yang dimuat naik pada 21 November lepas terus mencuri tumpuan peminat bola sepak dunia apabila ditonton 2,161,006 pelayar Internet. Pemain Pulau Pinang yang tercalon dalam senarai tiga terakhir untuk Anugerah Puskas FIFA itu berharap terus mendapat sokongan peminat bola sepak untuk mencipta sejarah sebagai pemain dari benua Asia pertama merangkul anugerah itu. Dua pemain lain ialah Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil danwakil tunggal wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela. Gol jaringan Marlone yang dimuat naik oleh FIFATV itu ditonton sebanyak 1,361,047 pelayar manakala Danisuka (1,061,741), setakat tengah hari Isnin. Bagaimanapun Mohd Faiz, anak jati Ayer Hitam, Kedah itu berpendapat semuacalon akhir untuk anugerah itu masih mempunyai peluang sama rata untuk meraih anugerah berkenaan. "Sekarang ini terpulang kepada undian, siapa yang dapat undian tertinggiakan menang anugerah itu," kata Mohd Faiz. Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum nama pemenang diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan. Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966. Sejak diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu dimenangi bintang bola sepak terkenal dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez. -Bernama