suria

Menang Lagi, Chelsea Mahu Kejar Rekod Arsenal

Antonio Conte mengucapkan tahniah kepada pemain-pemainnya selepas tamat perlawanan malam Isnin. -fotoAFP
KEMENANGAN Chelsea ke atas Bournemouth dalam perlawanan malam Isnin mencatatkan rekod tersendiri bagi kelab Inggeris ini.

Kemenangan ini adalah yang ke-12 berturut-turut bagi skuad bimbingan Antonio Conte, selain yang terbanyak pernah dicatatkan oleh Chelsea sepanjang sejarah Liga Perdana Inggeris.

Rekod prestasi Chelsea ini mengalahkan prestasi yang pernah dicapai Manchester Untied pada musim 2008/2009 dan Liverpool pada musim 2013/2014 yang masing-masing memegang rekod 11 kali menang berturut-turut dalam saingan liga yang sama.


Sementara itu Arsenal masih menjadi pemegang rekod terbanyak kemenangan berturut-turut (13 kemenangan) di Liga Perdana Inggeris. Rekod itu dicatatkan pada musim 2001/2002.

Chelsea berpeluang untuk menyamai rekod yang dicatatkan Arsenal itu pada akhir tahun ini di mana The Blues akan bertemu Stoke City, pada 31 Disember 2016.

Bagaimanapun agak berat untuk Chelsea meleburkan rekod Arsenal apabila dalam perlawanan seterusnya awal tahun depan, mereka akan berdepan Tottenham Hotspur.

“Dalam empat hari akan datang kami berdepan tugas berat yang lain. Kami harus membuat persediaan dengan baik kerana sekarang, setiap pasukan pasti mahu mengalahkan kami,” kata Conte memetik BBC Sport selepas tamat perlawanan.

Kemenangan ke atas Bournemouth memperkukuhkan kedudukan Chelsea di puncak liga dengan mendapat 46 mata.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain