Malek yang pernah memenangi beberapa kejuaraan bina badan sewaktu era 80-an menjelaskan, juara Mr Universe 10 kali itu perlu mempunyai bukti yang kukuh untuk menyokong kesnya selain perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan jaguh bina badan negara itu supaya menerima keputusan Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) yang menolak rayuan kedua yang difailkan pada Rabu.
Keputusan tersebut menyaksikan Sazali terpaksa menunggu sehingga 2019 sebelum kembali semula ke pentas antarabangsa.
"Seharusnya kita perlu terima hukuman itu dengan hati yang terbuka namun saya tidak menyokong ataupun menghalang cadangan tersebut kerana jika dia (Sazali) mampu menyediakan bukti dan sanggup mengeluarkan duit yang banyak, apa salahnya mencuba," tegas Malek.
Pada masa sama, beliau menasihatkan atlet muda khususnya dalam acara bina badan agar menjadikan kes Sazali sebagai satu pengajaran bahawa penggunaan bahan terlarang boleh menjejaskan karier mereka pada masa akan datang.
"Saya berpendapat bahawa keputusan PBBM itu ada baiknya untuk dijadikan sebagai pengajaran buat atlet muda yang lain," kata Malek.
Untuk rekod, PBBM pada 31 Mac lalu menolak rayuan yang dikemukakan Sazali pada 9 Januari selepas digantung empat tahun oleh PBBM ekoran gagal dalam ujian doping kendalian Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 Sept 2015.
Sazali gagal dalam ujian doping apabila bahan terlarang jenis steroid terkandung dalam sampel air kencingnya dalam ujian sebelum menyertai satu pertandingan antarabangsa.