suria

Kedah Bakal Uji Pemain Pertahanan Dari Tiga Negara Asia

PEMAIN pertahanan dari tiga negara Asia bakal diuji oleh juara Piala Malaysia, Kedah bagi menggantikan Bang Seung Hwan yang telah tamat kontrak setelah berkhidmat untuk skuad hijau kuning selama tiga musim.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, pemain pertahanan dari Korea Selatan, Kim Seung Hyun, 23, gagal menepati kehendak pasukan dalam dua perlawanan persahabatan menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perlis di Stadium Darul Aman baru-baru ini.

"Saya tidak ada pilihan kecuali mendapatkan pemain pertahanan yang berkemampuan dan mantap bagi membina benteng lebih baik. Oleh itu kita akan uji tiga pemian dari tiga negara Asia untuk mengisi kekosongan ini.

"Pemain pertahanan tersebut ialah dari Korea Selatan, Uzbekistan, dan Australia, Jika salah seorang daripada mereka terpilih, ia akan mematuhi kuota Asia seperti yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Apabila mereka tiba nanti kita akan menilai sebaik mungkin sebelum memberikan kontrak. Kita mahu pemain terbaik yang mampu mengemudi barisan pertahanan kerana kita juga mempunyai misi pada musim 2017," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe memberitahu, Kedah setakat ini kagum dengan persembahan yang dipamerkan pemain dari Denmark, Ken Illso Larsen apabila digandingkan dengan Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi.

Menurutnya, bagaimanapun bekas penyerang Home United itu akan diuji dalam perlawanan persahabatan selain bagi membentuk persefahaman dengan pemain muda dan senior.

Beliau berkata, Kedah akan bertemu Perlis dalam perlawanan persahabatan ketiga pada Jumaat malam di Kangar dan ia adalah peluang terbaik Illso Larsen untuk mempamerkan kemampuan sebenarnya.

"Perlawanan persahabatan ini juga merupakan peluang terbaik buat semua pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama musim depan.

"Seperti sebelum ini, pemain Kedah perlu bersaing untuk mengisi kesebelasan utama dan mereka telah melakukannya dengan baik sejak musim lalu," ujarnya.

Cheng Hoe menambah, Kedah akan meneruskan siri perlawanan persabatan pramusim dengan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 3 Januari tahun depan di Stadium Darul Aman.

"Selepas itu kita akan ke Lembah Klang untuk menentang dengan pasukan di sana pada 7, 9 dan 11 Januari," jelasnya.

Kedah, Korea Selatan, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain