PEMAIN tenis Amerika Syarikat (AS) Serena Williams mahu melupakan seketika pertunangannya dengan pengasas bersama Reddit, Alexis Ohanian kerana tidak mahu tumpuan memenangi kejohanan Terbuka Australia terjejas. Serena mengumumkan pertunangannya dengan usahawan media sosial itu sebelum ambang sambutan Tahun Baru 2017. Meskipun gembira dengan pertunangan tersebut, pemain No.2 dunia itu menegaskan dia tidak mahu terlalu memikirkan mengenainya sehingga selesai kejohanan di Melbourne Park. "Saya katakan sejak awal lagi, saya hanya mahu fikirkan mengenainya selepas Australia kerana grand slam amat bermakna untuk saya. "Jadi saya tidak akan fikir mengenainya. Saya tidak akan membiarkan perkara itu menjejaskan fokus saya. Saya hanya mahu fokus kepada latihan, kardio dan perkara berkaitan kejohanan ini," kata Serena. Serena berkongsi rekod era Terbuka dengan Steffi Graf apabila memenangi 22 gelaran Grand Slam dan hanya ketinggalan dua di belakang Margaret Court. Susulan kejayaan di London, dia hanya beraksi dalam dua lagi kejohanan apabila tewas kepada Elina Svitolina pada pusingan ketiga Olimpik Rio sebelum dikecewakan Karolina Pliskova pada separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat. Dia kemudiannya menamatkan kempen musim lalu dengan menjalani latihan selain bergelut dengan kecederaan bahu. Serena, 35, kembali ke gelanggang di Auckland minggu lalu tetapi dikecewakan rakan senegaranya, Madison Brengle pada pusingan kedua.