KUANTAN: Kuantan FA atau The Seagulls menyasarkan untuk merangkul sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim 2017 walaupun tanpa kelibat pemain handalan. Presidennya Zaliza Zulkifly berkata biarpun kebanyakan jentera pasukan diisi dengan pemain baharu dan muda namun ia sama sekali tidak akan melemahkan semangat juang skuad The Seagulls bagi mengimpikan satu kejuaraan. "Hanya dua pemain yang menjangkau usia 30 tahun manakala selebihnya di bawah usia berkenaan dengan majoriti berumur 25 tahun dan paling muda 17 tahun. "Kebanyakan daripada pemain itu juga pertama kali menyarung jersi bola sepak di peringkat nasional," katanya dalam sesi pengenalan barisan pemain Kuantan FA serta pelancaran jersi baharu oleh Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail di Sungai Lembing dekat sini, semalam. Cabaran Kuantan FA untuk saingan Liga Malaysia pada musim baharu ini akan diterajui Ketua Jurulatih Zulhamizan Zakaria, (penjaga gol) Khairul Nadzam, Sherilanuari, Fakhri Syahmi, Nur Kamarullah, (pertahanan) Isskandar Zulkarnaen, Khairul Azman, Hariz Irfan, Shafiq Mat Isa Amirullah, Muhammad Hashim, Nurfahmie Hadzrin, Khairul Helmy, Zhafri Zaini dan Amer Syafeeq Aziz. Pemain di posisi tengah pula ialah Rafizi Zahari, Muhammad Baqiuddin, Shahrul Aizad, Abdul Wafiy, Mohd Munawwari, Mohd Badrul Amin, Shunsuke Nakatake, Stefan Vukmirovic, Shim Un-Seob manakala Abdul Malik, Mohd Zaidee, Nabilah Khan, Mohd Shafiq Razali, Mohd Badrul Hisham dan Ljubo Baranin di barisan penyerang. Sementara itu, Zulhamizan berharap pasukan bimbingannya itu akan dapat merealisasikan hajat yang ditetapkan sekalipun melihat sasaran satu piala untuk dimenangi agak tinggi. Katanya berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan, pemain telah memberikan satu petanda positif dalam usaha memberikan cabaran kepada pasukan lawan nanti. Beliau berkata Piala FA dilihat sebagai sasaran satu piala untuk dimenangi lebih mudah berbanding menjuarai Liga Perdana. Dalam pencapaian lepas, The Seagulls berjaya menewaskan Pulau Pinang 4-2 pada pusingan pertama sebelum kandas 1-0 dengan Perak pada pusingan kedua saingan Piala FA. Bagi saingan Liga Perdana pula, Kuantan FA berjaya memperbaiki kedudukan di tangga kelapan keseluruhan berbanding tangga kesembilan pada 2015. Untuk pencapaian Liga Perdana musim ini, sasaran sekurang-kurangnya untuk berada di tangga lima pasukan teratas. - BERNAMA