KUALA LUMPUR: Prestasi kurang meyakinkan pasukan Persatuan Bola Sepak India Malaysia (Mifa) sepanjang aksi pra musim, meletakkan ketua jurulatih, Jacob Joseph berada dalam keadaan dilema. Mengakui terdapat kelemahan di bahagian tengah dan pertahanan, Jacob kini mengintai dua lagi pemain import bagi memperkuatkan pasukan berkenaan yang bakal mengharungi saingan Liga Perdana 2017 bermula Januari ini. "Pada perlawanan persahabatan pra musim, saya sendiri tidak berpuas hati kerana pemain tengah adalah pemain muda. "Kita menang 2-0 ke atas Kelantan, Perak kita kalah 2-3 dan Perlis kita tumpas 1-3, dan keputusan itu bermakna kita belum cukup bersedia," katanya selepas majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi baharu Mifa oleh Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam di sini, Ahad. Setakat ini, Mifamempunyai dua pemain import - Micheal Ijezle Chukwubunna yang pernah beraksi di Liga Vietnam dan Tagne Foguieng Bodric Dimtri dari Sri Lanka. Sementara itu, Jacob berkata senarai pemain tempatan pasukan berkenaan sudah dimuktamadkan dengan mengekalkan 14 pemain yang beraksi dalam Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tahun lepas. Ditanya mengenai sasaran Mifa, dia berharap pasukan itu dapat meneruskan kejayaan layak ke saingan Piala Malaysia musim ini. Sementara itu, Dr Subramaniam mahu masyarakat India berbangga dengan pencapaian MIFA yang berjaya melangkah ke Liga Perdana, sekali gus menjadikan persatuan bola sepak itu sebagai ikon komuniti berkenaan. "MIC akan terus menyokong Mifa, dan menjadi tanggungjawab masyarakat India untuk turut bersama-sama memberi sokongan kepada pasukan berkenaan," katanya. -Bernama