SAINGAN Terbuka Australia terus menyaksikan kejutan apabila juara bertahan kejohanan ini, Novak Djokovic disingkir pada pusingan kedua dengan keputusan 7-6, 5-7, 2-6, 7-6, 6-4 oleh pemain dari Rusia. Lebih mengecewakan, Djokovic ditewaskan oleh pemain bukan pilihan yang berada di ranking ke-117 dunia, Denis Istomin yang ternyata mengejutkan peminat-peminat tenis dunia. Istomin,30, yang mara ke pusingan utama melalui wildcard turut mencatat sejarah baharu Grand Slam dengan menewaskan 'musuh' utama Andy Murray dengan lima set dalam tempoh empat jam 50 minit. "Pertamanya, saya simpati dengan Novak. Saya bermain sangat baik hari ini. "Maksudnya, saya sendiri terkejut dengan aksi hari ini. Saya ingin berterima kasih kepada pasukan, yang telah melakukan tugas dengan baik. Menakjubkan. "Terlalu banyak emosi yang bermain di fikiran saya sekarang dan tidak mampu untuk menahannya, namun terima kasih kepada semua yang hadir memberi sokongan kepada saya," jelasnya selepas perlawanan. Sebagai rekod, Djokovic,29, tersingkir pada pusingan kedua buat pertama kali selepas Wimbledon 2008. Manakala dia tewas dalam pusingan pertama Terbuka Australia buat julung kalinya ketika usianya 18 tahun pada tahun 2006. Istomin bakal bertemu dengan pemain Sepanyol, Pablo Carreno Busta pada aksi pusingann ketiga selepas ini.