Manchester United telah dinamakan sebagai kelab bola sepak terkaya di dunia, mengakhiri cengkaman Real Madrid selama 11 tahun dalam senarai 'Football Money League' oleh Deloitte. Pendapatan United sebanyak €689.0 juta (£515,3) pada 2015/16, rekod sepanjang masa untuk sebuah pasukan bola sepak telah mengangkat mereka berada di atas, meninggalkan kelab gergasi Sepanyol Real Madrid dan Barcelona untuk kali pertama sejak 2003/04. Jirannya, Manchester City naik ke paras tertinggi baharu di tempat kelima dalam senarai tahunan yang diterbitkan pada Khamis, sementara Leicester City buat pertama kali berada di senarai 20 kelab global teratas selepas kemenangan bersejarah Liga Perdana Inggeris musim lalu. Arsenal, Chelsea, Liverpool, Tottenham Hotspur dan West Ham United juga merupakan antara kelab terkemuka musim lalu yang tersenarai. United yang mengukuhkan kekuatan kewangan mereka dengan menandatangani pemain tengah Paul Pogba dengan rekod perpindahan dunia £89 juta pada musim panas, selesa mendahului Real dan Barca, namun dua pasukan Sepanyol itu juga menikmati peningkatan.