ATLETICO Madrid mempunyai kelebihan besar menjelang perlawanan pusingan kedua suku akhir Copa del Rey minggu depan selepas menundukkan Eibar 3-0 di Stadium Vincente Calderon, awal pagi Jumaat. Pengurus Atletico, Diego Simeone menurunkan barisan pemain terkuatnya yang mendominasi hampir keseluruhan permainan. Penjaring terbanyak Atletico, Antoine Griezmann menanduk masuk gol pertama pasukan tuan rumah seawal minit ke-28 selepas gol Stefan Savic dibatalkan kerana ofsaid. Pemain sayap Argentina, Angel Correa menjaring gol kedua pada minit ke-60 selepas menyempurnakan hantaran Yannick Carrasco. Pemain gantian Kevin Gameiro melengkapkan gol ketiga Atletico tujuh minit kemudian selepas menggantikan Correa. Kemenangan itu memberi sedikit kelebihan kepada Atletico untuk menghidupkan peluang mara ke separuh akhir Copa del Rey menjelang perlawanan pusingan kedua suku akhir di Stadium Ipurua, Khamis depan. Sementara itu, penyandang juara Barcelona turut akan berkunjung ke Real Sociedad pada perlawanan pusingan kedua suku akhir pada Khamis. Real Madrid pula tewas 1-2 kepada Celta Vigo pada pusingan pertama pada Rabu manakala Alaves mengatasi kelab divisyen dua, Alcorcon 2-0.