BARCELONA menamatkan badi malang mereka di Stadium Anoeta selama 10 tahun menerusi sepakan penalti Neymar yang menghadiahkan kemenangan 1-0 ke atas Real Sociedad pada aksi suku akhir pusingan pertama Copa del Rey, awal pagi Jumaat. Skuad The Catalan tidak pernah menang di gelanggang lawan itu sejak Mei 2007 dengan Real Sociedad gagal ditewaskan dalam lapan perlawanan semasa menentang Barcelona di sana. Namun sepakan penalti Neymar pada minit ke-21 sudah cukup buat Barcelona untuk menamatkan badi malang itu. Kemenangan itu sekaligus memberi kelebihan kepada anak buah Luis Enrique itu untuk mara ke pusingan separuh akhir. Tugas Real Sociedad kini makin sukar apabila mereka perlu bekerja lebih keras pada pusingan kedua di Camp Nou untuk menghidupkan peluang mara ke separuh akhir. Dalam pertemuan itu, Andres Iniesta terpaksa digantikan Andres Gomes pada separuh masa pertama di Anoeta selepas mengadu mengalami kesakitan di bahagian betisnya. Namun ia tidak menjejaskan rentak permainan Barca dengan Gomes mempamerkan persembahan terbaik setakat ini. Iniesta akan menjalani pemeriksaan ke atas kecederaan betis yang dialaminya pada perlawanan itu. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Barcelona sejurus tamat perlawanan mengesahkan:" Iniesta terpaksa diganti dengan Gomes kerana mengalami kecederaan di betis kirinya. Dia akan menjalani pemeriksaan di Barcelona."