suria

UniKL Intai Lebar Rekod Kemenangan Berdepan KLHC

KUALA LUMPUR: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mahu melebarkan rekod kemenangan mereka apabila berdepan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada aksi Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Kuala Lumpur pada Ahad.

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj mengakui tugas getir berdepan KLHC yang dibarisi ramai pemain kebangsaan, namun yakin pasukannya mampu mengutip tiga mata sambil melebarkan rekod kemenangan kepada lima perlawanan.

"Selepas empat kemenangan, saya rasa setiap pemain lebih berkeyakinan apabila menentang KLHC.

"Cuma saya harap mereka tidak lagi hilang fokus seperti yang dilakukan pada perlawanan terdahulu yang pada akhirnya membenarkan lawan menjaringkan gol," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia.

Arul bagaimanapun menghormati kekuatan juara Piala Sumbangsih itu yang disifatkannya lengkap di setiap posisi.

"Barisan tengah serta tonggak pertahanan mereka sangat bagus tapi saya rasa mereka juga belum benar-benar diuji dan kami adalah pasukan pertama yang benar-benar akan menguji mereka.

"Saya tidak mengetahui secara keseluruhan kekuatan lawan tapi sudah tentu kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih mata," tegas Arul.

Sebagai rekod, UniKL menang kesemua empat perlawanan setakat ini iaitu menundukkan SSTMI 5-0, TNB 1-0, TNB Thunderbolts 4-0 serta menang 6-2 ke atas pasukan UiTM-KPT pada Jumaat.

Jadual perlawanan Divisyen Perdana LHM 2017 (22 Januari):

TNB Thunderbolts lwn SSTMI (Stadium SSTMI, Johor) -- 5 petang

Maybank lwn THT (Std Hoki MBMB, Melaka) -- 6 petang

KLHC lwn UniKL (Stadium Hoki Kuala Lumpur) -- 6 petang

TNB lwn UiTM-KPT (Stadium Hoki Kuala Lumpur) -- 8 malam - BERNAMA

Artikel Sebelum

Swansea Kejutkan Liverpool

Artikel Berikut

Artikel Lain