KUALA LUMPUR: Rekod tanpa kalah pendahulu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam saingan Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia (LHM) 2017 akhirnya lebur selepas kalah 0-2 kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada Ahad.
Aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur, di sini, menyaksikan KLHC yang juga juara Piala Sumbangsih terpaksa menunggu sehingga minit ke-34 untuk membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti pemain kebangsaan, Muhd Noor Faeez Ibrahim.
Seorang lagi pemain kebangsaan, Muhd Haziq Samsul mengesahkan kemenangan untuk KLHC menerusi gol padang, sembilan minit kemudian.
Kekalahan tersebut menyaksikan juara bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) merampas kedudukan pendahulu selepas menang selesa 3-0 ke atas Maybank di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Melaka.
THT dan KLHC berkongsi 13 mata selepas beraksi dalam lima perlawanan namun THT berada di persada liga menerusi kelebihan jaringan.
Pasukan TNB turut meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan UiTM-KPT 4-0 di Stadium Hoki Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, pasukan TNB Thunderbolts meraih kemenangan sulung musim ini selepas menang 3-0 ke atas pasukan bawahan liga, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail pada aksi di Stadium Hoki SSTMI, Johor. - BERNAMA