DUA jaringan bintang muda Manchester City, Gabriel Jesus melegakan pengurusnya, Pep Guardiola untuk mengutip tiga mata penuh ketika menewaskan Swansea City 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad. Penyerang berusia 19 tahun itu tidak menunggu lama untuk mencetak gol keduanya bersama Manchester City apabila memanfaatkan peluang pada minit ke-11 ekoran situasi kelam kabut di depan pintu gol lawan. Jaringan tersebut merupakan yang kedua bagi penyerang berusia 19 tahun itu sejak berpindah ke Etihad pada awal musim ini. Bagaimanapun Manchester City gagal menambah jaringan untuk mengukuhkan kedudukan sehingga minit ke-81, pasukan tuan rumah dikejutkan dengan gol penyamaan Swansea City menerusi Gylfi Sigurdsson. Ketika perlawanan dilihat seakan berakhir dengan keputusan seri, Jesus sekali lagi menjadi wira Manchester City pada minit ke-93 apabila menjaringkan gol kemenangan buat pasukannya. Kemenangan tersebut sekali gus melonjakkan pasukan Guardiola ke tangga ketiga liga dengan 49 mata, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu liga, Chelsea. Swansea City pula turun ke tangga 17 liga, hanya satu mata dipisahkan daripada Hull City yang menghuni zon penyingkiran.