AS Roma kembali merebut posisi kedua carta liga Serie A daripada Napoli setelah menundukkan Fiorentina 4-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Olimpico, awal pagi Rabu. Ketika babak pertama perlawanan, Fiorentina yang berada dalam tekanan nyaris unggul pada minit ke-17 apabila Stephan El Shaarawy berdepan dengan penjaga gol Fiorentina, Ciprian Tatarusanu. Bagaimanapun, El Shaarawy mengambil masa terlalu lama untuk menyudahkan bola yang akhirnya berjaya ditepis Tatarusanu. Gol yang ditunggu-tunggu penyokong AS Roma akhirnya diperolehi pada minit ke-39 menerusi Edin Dzeko. Skor 1-0 bertahan hingga tamat separuh masa pertama. Federico Fazio berjaya menggandakan keunggulan Roma pada minit ke-58 apabila memanfaatkan umpan tendangan bebas De Rossi dengan tandukan. Gol ketiga Roma tercipta pada minit ke-75 menerusi Radja Nainggolan. Dzeko menyumbat masuk gol keduanya pada minit ke-83 sekali gus memastikan kemenangan AS Roma. Dengan kemenangan ini AS Roma naik ke posisi kedua carta dengan mengumpul 50 mata, berbeza empat mata dengan Juventus yang menerajui liga. Napoli turun ke posisi ketiga dengan 48 mata manakala Fiorentina di posisi ketujuh dengan 37 mata.