KAPTEN Bayern Munich, Philipp Lahm, mengumumkan bakal 'gantung but' pada akhir musim 2016-2017. Lahm, 33, juga menyatakan bahawa dirinya belum bersedia untuk memegang jawatan pengarah sukan yang ditawarkan oleh pengurusan The Bavarians kepadanya. Bekas pemain kebangsaan Jerman ini masih terikat dengan kontrak bersama Bayern Munich hingga musim panas 2018. Namun Lahm telah membulatkan tekad untuk bersara selepas musim ini berakhir. "Saya akan bersara pada akhir musim. Saya telah memutuskan bahawa waktu ini bukanlah waktu yang tepat untuk saya menerima tawaran sebagai pengarah sukan," kata Lahm, memetik Soccerway. Lahm telah bermain dalam 501 pertandingan bersama Bayern sejak membuat penampilan pertama dengan skuad itu pada 2002. Lahm memulakan kariernya bersama pasukan akademi Bayern dan pernah dipinjamkan selama dua musim ke VfB Stuttgart dari 2003 hingga 2005. Sepanjang memperkukuhkan Die Roten, dia telah meraih tujuh trofi Bundesliga, enam DFB Pokal dan satu Liga Juara-Juara. Lahm juga membantu pasukan Jerman menjadi juara Piala Dunia 2014 selepas kemenangan 1-0 ke atas Argentina. Selepas perlawanan itu, Lahm memutuskan untuk bersara dari arena antarabangsa. Lahm masih berpeluang menambah koleksi kemenangannya sebelum bersara. Bayern setakat ini mara ke suku akhir DFB-Pokal, menerajui carta Bundesliga dan masih bertahan di Liga Juara-Juara.